Thursday, 23 November 2023

[ LAPORAN PERTEMUAN BERSAMAATASE MELAKA - USAHA BERSAMA PEMANTAPAN ANAK MELAKA ]






22 November 2023 - Sukacitanya Ahli Jawatankuasa Khas (AJKK) Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan sebuah pertemuan bersama Ustaz Muhammad Hafizi bin Ab Kadir selaku Pegawai Atase Pendidikan Melaka Mesir bertempat di Pejabat Pentadbiran Wisma Seri Melaka. Pertemuan tersebut dihadiri oleh Ustaz Muhammad Ismail bin Samsudin selaku Pengarah AJKK BKKIMM dan seorang aktivis BKKIMM.

Pertemuan tersebut dimulakan dengan pengenalan ringkas dan disusuli dengan pembentangan objektif dan tujuan ziarah. Objektif utama pertemuan ini adalah bagi membina dan mengukuhkan hubungan bersama antara BKKIMM dan Atase Pendidikan Melaka Mesir di samping bertukar pandangan dan pendapat berkaitan biah solehah anak Melaka di Mesir.

Melihat kepincangan yang berlaku hari ini, sebuah kertas kerja cadangan telah dibentangkan kepada Pegawai Atase Pendidikan Melaka Mesir sebagai tanda sokongan BKKIMM terhadap usaha baik Pegawai dalam menitikberatkan pembudayaan ilmu dan biah solehah dalam kalangan anak Melaka. Beberapa aktiviti dan teknikal telah dicadangkan mengikut pembawaan biah solehah untuk dibawa dan dilaksanakan bagi menjayakan pembawaan tersebut. Tidak diketepikan juga aspek penerapan ilmu yang benar dan terkini kepada anak Melaka bagi menghadapi dunia dakwah yang mencabar.

Di samping itu, setiap pembawaan telah dikupas satu persatu dengan mendalam dan teliti bagi memastikan ia mampu menambahbaik sahsiah dan akhlak anak Melaka seiring dengan pembawaan Atase Pendidikan Melaka Mesir "Pemerkasaan Ilmu, Pemantapan Rohani". Di samping menjayakan pembawaan thaqafah dalam kalangan anak Melaka, tidak dilupakan juga dari sudut melahirkan generasi ilmuan yang bersahsiah dan berakhlak terpuji agar pulang ke tanah air bakal menjadi contoh teladan kepada masyarakat kelak.

Akhirnya, BKKIMM sentiasa cakna menyokong terhadap usaha - usaha pembentukan peribadi mahasiswa yang sejati. Semoga usaha murni ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam memastikan permasalahan biah solehah dan hisbah anak Melaka dapat diselesaikan, di samping melahirkan mahasiswa Azhar yang terbaik dari sudut keilmuan dan sahsiahnya. BKKIMM mengucapkan terima kasih atas kata sepakat beberapa perkara yang dicapai dalam pertemuan ini. Pihak BKKIMM menerima dengan hati terbuka dan sentiasa bersedia dengan sebarang bentuk kerjasama dan bantuan yang diperlukan.


#SetiaBersama
#BersamaBersatu

Tuesday, 24 October 2023

[ LAPORAN RASMI | MESYUARAT TERGEMPAR : PEMAKLUMAN AHLI JAWATANKUASA KHAS BKKIMM ]


Firman Allah SWT: 

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَب َرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنِنَا

Maksudnya: "Dan Kami jadikan di antara mereka beberapa orang pemimpin, yang akan memimpin umatnya masing-masing kepada hukum-hukum agama Kami, selama mereka sabar (menjalankan tugas ini) dan mereka tetap yakin dengan ayat-ayat keterangan Kami."

(Surah al-Sajdah: ayat 24)

Pada 21 Oktober 2023, telah berlangsung Mesyuarat Tergempar BKKIMM yang bertempat di Dewan Faiz Petra, Wisma Tengku Mahkota. Mesyuarat tersebut didahului dengan pembentangan laporan gerak kerja umum dan laporan kewangan tahunan yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua BKKIMM sesi 22/23, Ustaz Umar Muhammad bin Ridzuan bersama Ustaz Muhammad Akmal bin Razali, selaku Setiausaha Agung BKKIMM sesi 22/23.




Mesyuarat tergempar tersebut diadakan bertujuan untuk membincangkan beberapa permasalahan secara bersama antara kepimpinan dan ahli. Oleh yang demikian, hasil daripada penilaian dan penelitian, Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) BKKIMM sesi 22/23 telah membawa satu usul tergempar sebagai solusi kepada permasalahan yang telah dikemukakan. Usul tersebut telah dibawa oleh Ustazah Siti Mariam binti Mohamed Ishak selaku Timbalan Ketua Hewi (Unit Perancang & Panitia) BKKIMM sesi 22/23 sebagai wakil barisan kepimpinan dengan matan usul:

"MEWUJUDKAN AHLI JAWATANKUASA KHAS BAGI MELAKSANAKAN GERAKAN KERJA SERTA MENJAGA BKKIMM DENGAN BERPANDUKAN UNDANG-UNDANG TUBUH."



Usul tersebut telah dibahaskan dalam mesyuarat dan dipersetujui dengan jumlah majoriti ahli BKKIMM yang hadir ke mesyuarat tersebut. Oleh itu, pimpinan dan seluruh ahli BKKIMM telah bersetuju dengan penubuhan Ahli Jawatankuasa Khas (AJKK) BKKIMM yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Ismail bin Samsudin selaku Pengarah AJKK BKKIMM. 

Mesyuarat tersebut diakhiri dengan kalam penggulungan daripada YDP BKKIMM sesi 22/23 dan ucapan sulung daripada Pengarah AJKK BKKIMM berserta pemakluman taakhi baharu iaitu:

ZON TAAKHI A

1. Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM)

2. Keluarga Pelajar Kelantan Mesir (KPKM)

3. Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK)





Semoga dengan pelantikan AJKK yang baharu ini dipermudah dan dipandu Allah SWT dalam menjaga bahtera BKKIMM disamping menjayakan dan meneruskan dakwah Islam khusus anak Melaka seluruhnya.
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"Mahasiswa Bersatu, Dakwah Bermutu"

#BersamaBersatu
#SetiaBersama

Disediakan oleh: Setiausaha Agung BKKIMM sesi 2022/2023


Friday, 5 May 2023

[ MEMBURU KETAKWAAN, MENCAPAI AL-RAYYAN ]

KAHERAH, 23 MAC 2023 - Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah berjaya mengadakan program yang yang diberi nama Ihya' Tarbawi Ramadan 2023 (IHTIRAM '23) khusus buat anak-anak Melaka di Pelembahan Nil. Tema yang dibawa oleh komiti program pada kali ini adalah “Memburu Ketakwaan, Mencapai al-Rayyan” yang telah diketuai oleh Ustaz Muhammad Akmal bin Razali selaku Pengarah dan Timbalan Pengarah, Ustazah Siti Balqis binti Asni. 

Komiti IHTIRAM'23 sebulat suara telah menggariskan beberapa objektif untuk program ini, iaitu meraikan bulan ibadah disamping membentuk penghayatan ibrah dalam diri ahli BKKIMM. Seterusnya adalah memperkasa dakwah dan thaqafah kepada ahli BKKIMM melalui aktiviti yang dianjurkan. Seterusnya sekaligus menjadikan Ramadan dan sambutan Aidilfitri sebagai medan untuk memupuk ukhuwah ahli BKKIMM, anak Melaka serta ahli BKAN yang lain. 

Program ini telah menyusun pelbagai pengisian dan aktiviti bagi memanfaatkan bulan yang penuh mulia ini dimulai dengan pengisian berbentuk ukhuwah dan kerohanian iaitu Tarawih Ma'an disertai katibah dan sahur jamaie yang telah disusun oleh Unit Pengisian IHTIRAM'23.


 Selain itu, terdapat juga pengisian thaqafah yang menarik seperti Muhadarah 'Ammah Nuzul al-Quran oleh Syeikh Abdul Rahman Syeikh Sayyid Ali Abdul Majid bersama Badan Kebajikan Anak Negeri Taakhi Zon D, perkongsian Diskusi Kitab Madza Ba'da Ramadan oleh Ustaz Muhammad Hafiz Syakirin bin Mohd Yazid, perkongsian infografik, video ilmiah dan potcast daripada beberapa alumni BKKIMM. 

Disamping itu, komiti IHTIRAM'23 dengan kerjasama Tabung Khas Anak Melaka Mesir (TKAMM) telah menyerahkan sumbangan kepada anak-anak Melaka di bumi Mesir hasil sumbangan daripada penyumbang TKAMM.



Bagi meraikan kegembiraan di bulan kemenangan, IHTIRAM '23 diteruskan lagi pada bulan Syawal dengan pelbagai aktiviti yang tidak kurang menariknya seperti bersama-sama mendengar Perutusan Yang Dipertua BKKIMM, Ustaz Umar Muhammad bin Ridzuan, Solat Sunat Aidilfitri bersama warga Mesir di Masjid Musa, Tazkirah Duha Aidilfitri serta Rumah Terbuka BKKIMM yang telah dihadiri oleh VIP dan seluruh ahli BKKIMM. 


Seterusnya, Majlis Perasmian Penutup IHTIRAM '23 telah disempurnakan oleh Ustaz Akram bin Mamad selaku Penasihat BKKIMM yang bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V, Hayyu Sabiek dengan kehadiran ahli BKKIMM. 

                     
                                        


Akhirnya, semoga dengan sambutan IHTIRAM '23 ini dapat mengeratkan lagi ikatan ukhuwah yang terbina agar gerak kerja dakwah dapat diteruskan di samping bersyukur atas nikmat yang Allah berikan kepada kita dan dapat menambah ketakwaan kepada Allah SWT. 

"Memburu Ketakwaan, Mencapai al-Rayyan 
"Mahasiswa Bersatu, Dakwah Bermutu"
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"

#SinariRamadan
#SetiaBersama
#BersamaBersatu

Disediakan oleh :

Timbalan Pengarah (Setiausaha) IHTIRAM '23 | BKKIMM sesi 2022/2023

Thursday, 4 May 2023

[ PEMAKLUMAN TAWAQUF PROGRAM DAN FAMILY BREAK AMALI ]



بسم الله الرحمان الرحيم إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا من يهد الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله أما بعد 

Fasa dua telah bermula,
Jadual imtihan telah pun tiba,
Marilah kita saling berusaha,
Kelak nanti kita berjaya.

Pada tempoh ini kelihatan seluruh mahasiswa/wi pengajian Islam Universiti al-Azhar sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan fasa kedua bagi pengkuliahan sesi 2022/2023. Pemerkasaan akademik dan thaqafah ahli telah menjadi salah satu pembawaan peringkat BKKIMM sekian lama. Oleh itu, melihat kepada keperluan tersebut peringkat BKKIMM sangat komited serta sangat menitikberatkan pembelajaran akademik dan thaqafah ahli sempena imtihan ini. 

Melihat kesungguhan mahasiswa/wi Pengajian Islam Universiti al-Azhar bertungkus lumus dalam mempersiapkan diri bagi imtihan yang bakal ditempuhi, peringkat Majlis Gabungan BKAN (MGB) dan setiap Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) juga tidak terlepas dalam menyusun semaksima mungkin pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan bagi membantu mahasiswa/wi untuk menghadapi peperiksaan yang bakal menjelma.

Sehubungan itu, penangguhan seluruh program di peringkat BKKIMM akan bermula pada tanggal 13 Syawal 1444 Hijrah bersamaan 5 Mei 2022 Masihi kecuali program-program yang berbentuk Pendidikan dan juga bermulanya ‘Family Break Amali’. 

Akhir sekali, pihak BKKIMM berharap dan menyeru semua ahli menghadiri dan memberikan komitmen kepada ‘Family Break Amali’ yang dijalankan serta memanfaatkan setiap ruang masa yang berbaki bagi menghadapi imtihan yang bakal tiba dengan sebaiknya supaya dapat memastikan kecemerlangan yang diimpikan tercapai. 

Seterusnya, mengambil berat antara satu sama lain meskipun sibuk dalam membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan di samping tidak mengabaikan hubungan dengan Allah SWT dengan meningkatkan Amal Fardhi kita di musim peperiksaan ini. Seluruh warga BKKIMM mendoakan agar seluruh anak Melaka yang akan menghadapi imtihan diberikan kemudahan dan memperoleh kejayaan yang cemerlang dunia dan akhirat. 

Semoga perancangan tawaqquf yang telah disusun ini akan memberi impak yang baik sekaligus meningkatkan pencapaian akademik ahli pada sesi ini. Maka, manfaatkan masa yang ada ini dengan membuat persediaan yang secukupnya dalam menghadapi imtihan yang bakal tiba. Semoga kita semua diberikan kemudahan dalam menduduki imtihan dan seterusnya mendapat keputusan yang cemerlang. Insya-Allah.


"Mahasiswa Bersatu, Dakwah Bermutu"
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan" 

#SetiaBersama
#BersamaBersatu 



Disediakan oleh:

MUHAMMAD ISMAIL BIN SAMSUDIN
Timbalan Yang Dipertua (Ketua Unit Perancang dan Panitia) BKKIMM sesi 2022/2023.

Friday, 28 April 2023

[ LAPORAN | BKKIMM KOMITED MENCARI SOLUSI - PERTEMUAN WAKIL PIMPINAN BKKIMM BERSAMA ILMAM ]





  Pada 19 Mac 2023 bersamaan dengan hari Ahad, Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah menghantar seorang wakil untuk  mengadakan satu pertemuan bersama wakil ILMAM Melaka, iaitu Ustazah Siti Hajar binti Razali di Melaka.


  Pertemuan tersebut didahului dengan pengenalan dan perkembangan berkaitan pergerakan umum di kedua-dua pihak. Kemudian, disusuli dengan penerangan beberapa objektif pertemuan tersebut diadakan.  

Di samping itu, peringkat wakil BKKIMM mengambil peluang berkongsi beberapa permasalahan yang berlaku dalam kalangan anak Melaka yang berada di Mesir. Hal ini bertujuan untuk mendapatkan dan mencapai solusi yang terbaik melalui medium bertukar pandangan di antara kedua belah pihak. 

Hasil dari pertemuan ini, peringkat BKKIMM berharap agar hubungan di antara BKKIMM dan ILMAM Melaka terus diperkukuh dan saling berganding bahu dalam mencari solusi terbaik bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku dalam kalangan anak Melaka. 
 
Akhirnya, terima kasih diucapkan kepada Ustazah Siti Hajar binti Razali selaku wakil ILMAM Melaka kerana sudi meluangkan masa menghadiri jemputan pertemuan bersama wakil BKKIMM dan menyambut baik pertemuan dengan lontaran pandangan dan solusi kepada beberapa permasalahan yang berlaku. 

Semoga dengan berbekalkan idea dan solusi hasil daripada pertemuan ini dapat membantu dan menambah baik pergerakan BKKIMM di samping membuktikan bahawa BKKIMM sentiasa mencari jalan dengan komited dan berkebajikan dalam membantu ahli menyelesaikan sesuatu permasalahan.

"Mahasiswa Bersatu, Dakwah Bermutu"
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"

#SetiaBersama
#BersamaBersatu


Disediakan Oleh: Jabatan Setiausaha Agung sesi 2022/2023

Monday, 27 February 2023

[ LAPORAN | PROGRAM TAAKHI ZON D: BICARA ISRA' MIKRAJ ]



KAHERAH, 18 Februari 2023 : Isra' Mikraj merupakan salah satu peristiwa yang sangat penting dalam sejarah Rasulullah SAW yang wajib diketahui oleh umat Islam sebagaimana yang telah disebutkan bukti-buktinya di dalam al-Quran al-Sunnah . 

Oleh itu, peringkat Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir telah mengambil peluang untuk meribat hati anak-anak Melaka di samping menghidupkan dengan amalan-amalan yang baik dengan mengadakan program ini kerjasama bersama dengan BKAN Taakhi Zon D , iaitu Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM), Badan Kebajikan Mahasiswa/i Pahang (BKMIP) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPM) .




Program ini telah diadakan selama sehari dan turut dihadiri oleh ahli BKAN Taakhi Zon D bertempat di Musolla Darul Ehsan, Hayyu Asyir.

Program bicara ini telah dimulakan dengan solat maghrib dan solat hajat secara berjemaah . Kemudian diteruskan lagi dengan alunan qasidah dan seterusnya pembentangan kitab Bicara Isra' Mikraj yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Izzudin bin Muhaiyat, merupakan Penasihat Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta sesi 2021/2022. 




Semoga program ini dapat menambahkan thaqafah dan menguatkan rohani kepada semua mahasiswa dan mahasiswi disamping mengeratkan lagi hubungan sesama ahli BKAN Taakhi Zon D, insya-Allah.

"Mahasiswa Bersatu, Dakwah Bermutu"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

#BersamaBersatu
#SetiaBersamaTaakhi
#SatuFikrahSatuAmal

Disediakan oleh :
Setiausaha Agung (Ketua Unit Pendaftaran dan Muhafazah)
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2022/2023

Thursday, 8 December 2022

[ PEMAKLUMAN TAWAQUF PROGRAM & FAMILY BREAK AMALI ]





بسم الله الرحمان الرحيم إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا من يهد الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله أما بعد 


Pada tempoh ini memperlihatkan seluruh mahasiswa/wi pengajian Islam Universiti Al-Azhar sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan fasa pertama bagi pengkuliahan sesi 2022/2023. Oleh itu, peringkat BKKIMM sangat komited serta sangat menitikberatkan akademik dan thaqafah ahli, yang telah menjadi salah satu pembawaan di peringkat BKKIMM setelah sekian lamanya.


Mahasiswa/wi Pengajian Islam Universiti Al-Azhar bertungkus lumus dalam mempersiapkan diri bagi imtihan yang bakal ditempuhi. Oleh hal yang demikian, Majlis Gabungan BKAN (MGB) dan setiap Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) juga tidak terlepas dalam menyusun semaksima mungkin pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan bagi membantu mahasiswa/wi untuk menghadapi peperiksaan yang menjelma.


Sehubungan itu, penangguhan seluruh program di peringkat BKKIMM akan bermula pada tanggal 15 Jamadilawal 1444 Hijrah bersamaan 9 Disember 2022 Masihi kecuali program-program yang berbentuk Pendidikan dan juga bermulanya ‘Family Break Amali’.

 

Akhir sekali, pihak BKKIMM berharap dan menyeru semua ahli menghadiri dan memberikan komitmen kepada ‘Family Break Amali’ yang dijalankan serta memanfaatkan setiap ruang masa yang berbaki bagi menghadapi imtihan yang bakal tiba dengan sebaiknya supaya dapat memastikan kecemerlangan yang diimpikan tercapai. 


Seterusnya, mengambil berat antara satu sama lain meskipun sibuk dalam membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan di samping tidak mengabaikan hubungan dengan Allah SWT dengan meningkatkan Amal Fardhi kita di musim peperiksaan ini. Seluruh warga BKKIMM mendoakan agar seluruh anak Melaka yang akan menghadapi imtihan diberikan kemudahan dan memperoleh kejayaan yang cemerlang dunia dan akhirat. 


"Mahasiswa Bersatu, Dakwah Bermutu"

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan" 


 #SetiaBersama

#BersamaBersatu 


 Disediakan oleh : MUHAMMAD ISMAIL BIN SAMSUDIN

 Timbalan Yang Dipertua (Ketua Unit Perancang dan Panitia)

 BKKIMM sesi 2022/2023.




Sunday, 30 October 2022

"KESATUAN ISLAM PEMACU KESINAMBUNGAN"

KAHERAH, 22 OKTOBER 2022 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir telah mengadakan program Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 35 dan Anugerah Kecemerlangan  (MULTAQA-35) yang bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V. Program tersebut dekelolai oleh Ustaz Muhammad Aliff bin Omar selaku pengarah dan Ustazah Nurul Ashikin binti Razali selaku timbalan pengarah program. 

   Program yang bertemakan “Kesatuan Islam Pemacu Kesinambungan” ini merupakan satu wasilah terbaik untuk memberi cadangan dan muhasabah di samping merai kecemerlangan ahli. Seterusnya memastikan hala tuju BKKIMM tetap berlangsung pada masa akan datang.




   Pada 19 Oktober 2022 telah diadakan program ambang pada waktu malam dengan usrah gabungan di sebelah ikhwah iaitu sukan futsal dan diselangi tazkirah daripada ustaz Abdul Mujib bin Othman yang bertajuk "Ukhuwah". 

Seterusnya, pada tarikh 20 Oktober 2022 telah diadakan usrah gabungan akhawat berbentuk sukaneka. Program diteruskan dengan majlis perasmian dengan ucapan pembukaan daripada pengarah program diselangi ucapan Yang Dipertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) Ustaz Umar Muhammad bin Ridzuan serta disusuli ucapan perasmian daripada Ustaz Muhammad Iqbal bin Seidi, Timbalan Penyelaras Satu, Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri (MG BKAN).  

   Pada 22 Oktober 2022, MULTAQA - 35 diteruskan lagi dengan agenda kemuncak iaitu Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-35 yang dipengerusikan oleh Ustaz Umar Muhammad bin Ridzuan selaku Yang Dipertua BKKIMM. Antara agendanya ialah pembentangan minit Mesyuarat Agung Tahunan kali-34 dan laporan kewangan BKKIMM bagi setiap unit. Minit mesyuarat dan laporan kewangan tersebut telah dicadang sah dan disokong oleh ahli sidang yang hadir.




    Tambahan pula, perbahasan usul dan telah dibahas oleh Ustaz Muhammad Akram bin Mamad dan Ustazah Siti Barizah binti Asni. Kedua-dua usul tersebut telah disokong sebulat suara oleh ahli sidang yang hadir. Sehubungan dengan itu, kedua-dua usul yang dibahaskan telah diterima dan akan dilaksanakan sebagai usul yang akan dijayakan pada masa akan datang. 

   Disamping itu, satu slot khas telah dibawa dalam mesyuarat untuk dibincangkan bersama ahli mesyuarat. Perbincangan tersebut telah dipersetujui dan disepakati oleh ahli sidang dengan menyerahkan keputusan tersebut kepada pimpinan untuk dilaksanakan. 

    Majlis dimeriahkan lagi dengan ucapan penggulungan daripada ahli mesyuarat dan Ahli Jawantankuasa Tertinggi (AJKT). Seterusnya, slot Suruhanjaya Pilihan Raya yang dikendalikan Ustaz Wan Mohd 'Ukkasyah bin Mohd Nazeri bagi mengumumkan barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa HEWI sesi 2022 /2023.

 Akhir sekali, SYURA-34 menutup tirainya dengan penyampaian cenderahati kepada seluruh AJKT serta majlis anugerah kecemerlangan kepada graduan dan pelajar melaka Mesir yang telah berjaya dengan cemerlang dalam bidang yang diceburi serta penggerak program yang berkhidmat sepanjang sesi berlansung. 





   Pihak komiti mendahulukan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ahli yang hadir dan memberikan komitmen yang terbaik sepanjang mesyuarat berlangsung. Mudah-mudahan segala kesepakatan yang telah diputuskan memberi keberkatan kepada organisasi ini di samping mengukuhkan lagi silaturahim yang telah dibina dalam kalangan anak Melaka. Bak kata pepatah, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.

Wallahua’lam.

“Kesatuan Islam Pemacu Kesinambungan”
“Medan Islami Menuai Bakti”
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”

#KejayaanBersamaMULTAQA35
#1Hati1Wahdah
#BersamaBersatu

Disediakan oleh : Pengarah (Setiausaha) | MULTAQA-35 | BKKIMM sesi 2022/2023

Saturday, 24 September 2022

[ MINDA MAHASISWA | EDISI 5: BICARA FIQH "SOLAT JEMAAH YANG SEMAKIN DIPANDANG ENTENG" ]






 

Solat Jemaah Yang semakin dipandang Enteng.

 

Tidak dapat disangkal lagi realiti hari ini pelbagai kelompongan permasalahan yang terjadi dikalangan Umat Islam sendiri antaranya kekuatan rohani dan silaturahim.

 

Hal ini berpunca daripada sikap acuh tak acuh malah memandang enteng akan solat secara berjemaah yang telah diterapkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat menjadi semakin pudar di masa kini, kerana sibuk dengan lebih mengutamakan kepentingan-kepentingan lain

 

Kadang-kadang ada yang merasakan sudah berada di zon selesa sehingga bermudah dengan banyak hal antaranya, berlengah dalam melakukan solat berjemaah dan melambat-lambatkan solat. Tambahan pula, terleka dengan perkara melalaikan seperti permainan video yang menjadi fenomena anak muda masa kini, serta menghabiskan masa dengan media hiburan sehingga terlewat dan lambat dalam melakukan solat.

 

Oleh itu, pentingnya peranan kita dan sahabat sekelilingnya dalam menjaga dan membina biah solehah ini bagi membentuk sahsiah serta pentingnya kesedaran dalam diri untuk melancarkan gerak kerja amat makruf nahi munkar seperti firman Allah SWT di dalam Surah Ali Imran ayat 104:

 

‎وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةࣱ یَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَیۡرِ وَیَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

 

Maksudnya :

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." - [Surah Ali Imran 104]

 

Solat berjemaah merupakan kekuatan Umat Islam yang menjadi resepi rahsia kejayaan manusia, malah solat secara berjemaah mendapat ganjaran yang berlipat ganda seperti yang disebut di dalam satu hadith daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

 

‎صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

 

Maksudnya :”Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”

 

Dengan pengamalan solat berjemaah ini menjadi hikmah terbaik dalam kekuatan kesatuan Islam antaranya, mengerat dan memperkukuh ukhuwah serta dengan mendirikan solat juga menghindari dari perbuatan mungkar dan keji

 

‎اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

 

 Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

[Surat Al-Ankabut 45]

 

Oleh yang demikian, solat berjemaah ini ialah salah satu pembawaan biah solehah yang penting untuk dititikberatkan bersama sekali gus memberi kebaikan dan manfaat kepada semua. Tidak rugi menjadi insan yang selalu mengingatkan buat sahabat sekelilingnya malahan akan mendapat manfaat bersama di dunia mahupun di akhirat.

 

Jelaslah bahawa solat berjemaah ini menjadi bukti kekuatan hati dan sekaligus menjadi insan yang menambah baik kualiti solat justeru lebih dekat dengan Allah Taala dan tidak futur dalam ketaatan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Saturday, 27 August 2022

[ KE ARAH PENINGKATAN KEMAHIRAN PENDAKWAH MILLENIUM ]



KAHERAH, 20 Ogos 2022 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) sesi 2021/2022 telah mengadakan program al-Farabi's Day yang bertempat di Dewan Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Wisma Tengku Mahkota Kelantan.


Program yang disusun oleh Unit Penerangan dan Penerbitan ini diberi nama al-Farabi's Day sempena nama seorang tokoh seni ilmuan Islam. Program dimulakan dengan perkongsian slot Media dan Dakwah, disampaikan oleh Ustaz Ahmad Faiz Rafiuddin bin Kamaludin merupakan Ahli Lembaga Penasihat Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir. 

Seterusnya, pengisi kedua oleh Ustaz Abdul Mujib bin Othman pula meneruskan perkongsian berkaitan Mobilegrafi dan Videografi. Penerangan beliau disusuli antara teori dan praktikal menggunakan aplikasi Canva dan VN - Video Editor. 




Setelah selesai rehat, peserta dibahagikan dalam beberapa kumpulan untuk mempraktikkan kemahiran menggunakan aplikasi Canva. Pelbagai hasil karya yang menarik dapat dihasilkan oleh peserta al-Farabi's Day. 

Seharian berprogram bermula pagi sehinggalah petang, al-Farabi's Day akhirnya melabuhkan tirai dengan ucapan penutup yang telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2021/2022 iaitu Ustaz Umar Muhammad bin Ridzuan. 


Akhirnya, peringkat BKKIMM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan peserta dan komiti yang menjayakan program tersebut serta berharap dengan berlangsungnya program ini dapat memberi penambahbaikan kemahiran demi menyebarluaskan dakwah Islam dalam medan media. Semoga program tersebut mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT.

"Medan Islami Menuai Bakti"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

#DakwahMillenium
#1Hati1Wahdah
#BersamaBersatu

Sunday, 3 July 2022

[ MINDA MAHASISWA | EDISI 4 : BICARA FIKRAH "PERSEDIAAN MENGHADAPI KEPINCANGAN PEMIKIRAN MASYARAKAT" ]


 


PERSEDIAAN MENGHADAPI  KEPINCANGAN PEMIKIRAN MASYARAKAT

 

           Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Bagi-Nya segala kesempurnaan di langit dan bumi. Tiada kekuasaan dan keupayaan yang dapat menandingi kekuasaan dan keupayaan-Nya. Kami reda Allah sebagai Tuhan kami. Kami reda Islam sebagai agama kami. Kami juga reda Nabi Muhammad SAW sebagai nabi utusan Tuhan.

 

           Pemikiran merupakan komponen utama dalam menentukan perubahan baik dan buruk suatu tamadun. Kejatuhan suatu tamadun bermula dengan kepincangan pemikiran. Begitu juga kebangkitan suatu tamadun adalah bermula dengan kesempurnaan pemikiran. Jika suatu pejuang imperialis berhasrat menjajah suatu tamadun, maka pemicu utama adalah menimbulkan kecelaruan dalam pemikiran masyarakat tamadun tersebut.

 

          Pada hari ini, kita menyaksikan pelbagai kesesatan pemikiran yang sudah menyelinap ke dalam minda masyarakat Islam. Fenomena ini menterjemahkan kepada kita masyarakat Islam yang tidak mahu beramal dengan aturan Islam dalam kehidupan mereka. Ini memberikan kesan kepada cara pandang (Worldview) Islam. Kesannya, masyarakat Islam lebih tertarik dengan cara pandang (Worldview) barat berbanding dengan worldview Islam. Mereka merasakan bahawa dengan pengamalan barat, suatu masyarakat akan bertambah maju dan progresif.

 

          Sebelum muncul pemikiran sekularisme, masyarakat Islam sangat menyakini bahawa Islam dan pemerintahan tidak dapat dipisahkan. Begitu juga sebelum liberialisme dipromosikan, masyarakat Islam turut meyakini bahawa Islam merupakan suatu cara hidup yang relevan pada setiap tempat dan keadaan. Justeru, tidak dapat dinafikan bahawa pemikiran barat yang menyusup ke dalam fikiran masyarakat Islam sedang menghakis keyakinan umat Islam terhadap hakikat Islam yang sebenar.

 

          Sebagai mereka yang menyedari fenomena ini, kita perlu berusaha untuk membanteras jenayah ini sekaligus mencari antidot bagi merintis penawar bagi virus ini. Sekiranya kita mengamati sejarah, misi kebangkitan Islam yang digerakkan oleh ramai cendekiawan ulung Islam adalah bermula dengan memperbaiki pemikiran umat Islam di zaman tersebut.

 

          Al-Ghazali RH antara cendekiawan yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan reformasi menuju kebangkitan Islam. Al-Ghazali RH mengajarkan kepada kita supaya ubati “sebab-sebab kekalahan” dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam menghadapi kekalahan, bukan menangisi atas “kekalahan” yang menimpa.

 

           Ini selari dengan apa yang diutarakan oleh Malik bin Nabi, seorang cendekiawan Islam kontemporari, untuk mencari sebab-sebab terjadinya penjajahan dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam menghadapi penjajahan bukan mencaci “penjajah”. Satu-satunya sebab utama menurut al-Ghazali RH ialah rosaknya pemikiran umat Islam dalam sektor akidah dan sosial. Adapun selain itu hanyalah kesan sampingan yang akan segera hilang dengan hilangnya penyakit utama ini.

 

          Setiap kepincangan dalam pemikiran ada sebabnya yang tersendiri dan perlu dirungkaikan dengan penawar yang khusus juga. Mereka yang merintis dan memobilisasi pemikiran sekular adalah mereka yang berpegang teguh bahawa kemajuan dan agama tidak dapat disatukan. Ini kerana mereka menyangka bahawa agama itu menghalang manusia berfikir dan seterusnya akan menyebabkan ilmu tidak akan berkembang.

 

          Justeru, bagi mendepani kepincangan pemikiran masyarakat, para pendakwah bertanggungjawab untuk mendiagnosis secara mendalam idea di sebalik pemikiran-pemikiran sesat yang sudah berakar dalam minda masyarakat. Para pendakwah tidak boleh sekadar menyuarakan aspirasi agar pemikiran sesat tersebut wajib diperangi dengan slogan-slogan yang membara, namun saat diminta untuk menerangkan apakah idea di sebalik pemikiran yang kita perangi, kita sekadar mengatakan bahawa pemikiran itu bertentangan dengan Islam secara umum sedangkan akar virusnya sudah berselirat dalam minda-minda umat Islam.

 

          Di samping itu, bagi memahamkan masyarakat tentang ‘big why’ mengapa pemikiran-pemikiran yang berkaitan adalah bertentangan dengan konsep Islam yang syumul, para pendakwah mesti bersedia untuk menukar pola penyampaian secara bukan formal seperti di masjid dan surau supaya topik yang dikupas lebih menyentuh perbincangan semi-kritis melibatkan pemikiran moden. Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa cabaran semasa setelah implementasi reformasi pendidikan tidak formal ini pasti akan dirasai; melibatkan fikiran masyarakat yang agak kurang terbiasa dengan kupasan semi-kritis. Namun, itu bukanlah menjadi masalah utama jika dibandingkan dengan impak virus pemikiran yang sudah menular dalam minda mereka.

 

           Suatu hal yang paling penting buat setiap pendakwah, jangan sesekali terpengaruh dengan aspirasi kelompok pemikiran yang menyentuh sisi positif bagi mengaburi mata manusia. Sememangnya ideologi yang diasaskan adalah dipicu oleh ketidakmampuan untuk menyelesaikan masalah manusia terutama melibatkan sektor sosial dan agama, namun golongan yang merintis ideologi berkenaan tidak mengenal Islam terlebih dahulu. Sekiranya mereka lebih awal menganalisis hakikat ajaran Islam, sudah pasti mereka akan dapati tiada ideologi yang dapat menandingi kesempurnaan sistem tadbir urus Islam terhadap semua masalah yang dihadapi oleh manusia.

 

          Akhir sekali, marilah kita menghayati satu ayat dari kitabullah yang signifikan dengan isu ini. Firman Allah SWT,

 

وَمَن یَبۡتَغِ غَیۡرَ ٱلۡإِسۡلَـٰمِ دِینࣰا فَلَن یُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِینَ﴿ ٨٥

 

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

 

[Surah Ali-Imran, Ayat 85]

 

Wallahu'Alam

 

Oleh:

Abdul Mujib bin Othman

Timbalan Setiausaha Agung (Ketua Unit Pendidikan)

Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir

sesi 2021/2022

 

 

 

Wednesday, 25 May 2022

[ MINDA MAHASISWA | EDISI 3 : "BICARA SEJARAH: MENELADANI IBRAH KEJATUHAN KHILAFAH" ]




"BICARA SEJARAH:

MENELADANI IBRAH KEJATUHAN KHILAFAH"



Firman Allah SWT dalam Surah al- Ma’idah ayat 3:

ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَٰمَ دِينًا ۚ فَمَنِ ٱضْطُرَّ فِى مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ ۙ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

 

Maksudnya: Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa karena kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

    Pembentukan kerajaan Khilafah Uthmaniyah merupakan proses sejarah yang panjang dan tidak terjadi dengan tiba-tiba. Dalam sejarahnya selama lima abad iaitu bermula pada akhir abad ke-13 hingga awal abad ke-19 kerajaan Khilafah Uthmaniyah telah mengalami pasang surut. Pada satu sudut, dapat dilihat sebuah sistem politik yang diwarisi dari Kerajaan Turki Saljuk dan mengalami perkembangan yang gemilang dan akhirnya mengalami kemerosotan.

    Pada proses keruntuhannya, Khilafah Uthmaniyah merupakan wilayah yang besar meliputi semenanjung Balkan, Asia Kecil, Arab Timur Tengah, Mesir dan Afrika. Namun, akibat daripada pelbagai faktor yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Empayar Uthmaniyah sehingga memberi kesan kepada negara-negara Islam di sekitarnya yang turut terkena tempias akibat kemerosotan Khilafah Uthmaniyah.

    Antara faktor yang membawa kejatuhan empayar ini adalah disebabkan beberapa aspek iaitu politik, ekonomi, sosial dan pengaruh luar yang meresap masuk dalam kerajaan. Justeru kelemahan-kelemahan ini telah mendorong kepada keruntuhan empayar Khilafah Uthmaniyah.

    Faktor politik mengalami kemerosotan akibat kelemahan kepimpinan, pentadbiran dan pemerintahan yang tidak teratur serta ketenteraan yang lemah. Umum mengetahui bahawa Khilafah Uthmaniyah mempunyai pemimpin silih berganti. Namun, tidak dinafikan bahawa keadaan ini telah menyumbang kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniyah kerana masalah perebutan takhta dalam kalangan pembesar dan pemerintah. Sistem syura tidak diamalkan dan pemilihan pemimpin kebiasaannya adalah berdasarkan kekuatan. Kelemahan dalam pentadbiran dan pemerintahan ini telah ditunjukkan dalam pemerintahan selepas kemangkatan Sulaiman al-Qanuni dan mengakibatkan keruntuhan empayar Khilafah Uthmaniyah. Keadaan ini membawa kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniyah.

    Kelemahan dalam mengurus ekonomi merupakan punca kepada tercetusnya kemerosotan dalam kerajaan Khilafah Uthmaniyah antaranya pelantikan jawatan yang bukan didasari oleh kebolehan dan perdagangan yang tidak sistematik menyebabkan kejatuhan empayar Khilafah Uthmaniyah. Selain itu, sistem kapitalisme yang diperkenalkan di Eropah menyebabkan revolusi perindustrian muncul dan menenggelamkan industri tradisional masyarakat Turki. Kesannya, kegemilangan Turki dari aspek ekonomi semakin suram dan menuju kejatuhan.

    Masalah sosial seperti pemberontakan, ajaran Islam telah diselewengkan dan rasuah telah menyebabkan berlakunya kejatuhan Khilafah Uthmaniyah. Di samping itu, keruntuhan akhlak dan kurang penghayatan Islam sedikit sebanyak mempengaruhi kejatuhan empayar agung ini. Ajaran Islam telah dicemari dengan ajaran khurafat, tahayyul, dan amalan tasawuf yang melampaui batas tanpa menghiraukan tugas wajib iaitu untuk berjihad dan menegakkan amar makruf serta mencegah yang mungkar. Jelaslah bahawa permasalahan sosial yang berlaku telah menyebabkan kejatuhan emapayar Khilafah Uthmaniyah.

    Kebangkitan kekuatan Eropah telah menjadi faktor kejatuhan empayar Khilafah Uthmaniyah. Kemajuan aspek ilmu pengetahuan telah dicapai Eropah lalu mendorong perluasan kuasa atau imperialisme Barat berlaku. Gerakan-gerakan renaisans melahirkan perubahan-perubahan yang besar dalam sejarah dunia iaitu kebangkitan Eropah dan kemunduran kerajaan Islam di empayar Khilafah Uthmaniyah. Hal ini telah melumpuhkan Khilafah Uthmaniyah akibat daripada saingan kuasa-kuasa Eropah.

Kejatuhan Khilafah Uthmaniyah secara tidak langsung telah memberi kesan kepada negara-negara Islam dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Hal ini merupakan petunjuk kepada pengakhiran kegemilangan kerajaan Islam yang dahulunya telah berkembang pesat. Rentetan kejatuhan ini menyerlah ketika Mustafa Kamal Ataturk mengisytiharkan Turki sebagai negara republik.


KESAN-KESAN TERHADAP NEGARA ISLAM

    Kejatuhan Khilafah Uthmaniyah telah memberi kesan kepada negara Islam yang lain dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Antaranya ialah kehilangan institusi khilafah dalam kerajaan Islam dan perpecahan negara-negara Islam di bawah satu pemerintahan. Hal ini telah memberi kesan yang buruk dalam politik negara Islam. Di samping itu, pemodenan Kerajaan Turki telah menjadi ikutan negara-negara Islam yang lain dan akhirnya kebudayaan Barat yang menguasai telah menyebabkan keruntuhan akhlak masyarakat di negara-negara Isl

Tuntasnya, sejarah telah memperlihatkan kejatuhan Khilafah akibat masalah dalaman dan luaran yang tidak dapat diselesaikan secara sistematik. Oleh itu, kita selaku mahasiswa Islam perlu untuk melibatkan diri dalam satu kesatuan Islam dan mengukuhkannya kerana kesatuan merupakan tunjang kekuatan umat Islam. Kita juga harus menggunakan sistem Islam yang telah disyariatkan oleh Allah kepada hambanya dalam segala aspek seperti ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Kita juga perlu menjadikan peristiwa ini sebagai pengajaran dan berusaha membangkitkan semula institusi khilafah sehingga Islam kembali terbilang.

 

Nurul Ashikin binti Razali

Timbalan Ketua Unit Ekonomi (Timbalan Ketua Unit Perumahan) BKKIMM sesi 2021/2022

 


Wednesday, 11 May 2022

[ INSAN BERTAKWA, MANIFESTASI KEMENANGAN ]

KAHERAH, 11 MEI 2022 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) telah mengadakan suatu program yang diberi nama Sambutan Bulan Ramadan dan Raya Anak Melaka 2022 (BUSYRA'22) khusus buat mahasiswa dan mahasiswi Melaka di Pelembahan Nil. Program ini dikelolai oleh pengarah BUSYRA'22 iaitu Ustaz Zulhafizie bin Samsol dan Timbalannya Ustazah Rabiatul Adawiyah binti Harun serta seluruh barisan komiti pelaksana program BUSYRA'22.


       Objektif program ini bertujuan untuk menyeru anak Melaka untuk meraikan bulan ibadah di samping membentuk penghayatan ibrah dalam diri. Memperkasa dakwah dan thaqafah dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan disamping memupuk kebersamaan dan ukhuwah islamiah dalam kalangan anak Melaka.

      Program ini telah membuka tirainya dengan perasmian BUSYRA'22 oleh Ustaz Muhammad Hariz bin Azimi, penasihat Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP). Kemudian diteruskan dengan pelbagai aktiviti pada bulan mulia ini seperti diskusi kitab, "tarawih tour", singgah sahur, galakan tadarus al-Quran dan sebagainya yang telah disusun oleh Unit Pengisian BUSYRA'22. Selain itu, terdapat aktiviti berkebajikan yang menyalurkan sumbangan kepada anak-anak Melaka dan segelintir warga tempatan di Mesir dengan kerjasama Unit Kebajikan sesi 2021/2022. 


     BUSYRA'22 diteruskan lagi pada bulan Syawal dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Solat Sunat Aidilfitri bersama warga tempatan Mesir di Masjid berdekatan, Rumah Terbuka BKKIMM yang berlangsung pada hari Sabtu bersamaan 7 Mei 2022 dan telah dihadiri oleh tetamu jemputan dalam kalangan anak Melaka dan beberapa VIP jemputan.

     Program yang berjalan selama lebih daripada sebulan ini telah berjaya melabuhkan tirainya pada malam raya ke-5 bersamaan 7 Mei di Wisma Nusantara, Rabaah di mana Majlis Perasmian Penutupan BUSYRA'22 telah disempurnakan oleh Alfadil Ustaz Umar Muhammad bin Ridzuan selaku Yang Dipertua BKKIMM sesi 2021/2022.


      Majlis dimeriahkan lagi dengan sesi penyampaian hadiah kepada para peserta yang menyertai pertandingan sepanjang program. Seterusnya, persembahan nasyid jemputan dan diikuti dengan sesi bergambar beramai-ramai. Semoga dengan berakhirnya program BUSYRA'22 pada kali ini dapat mengeratkan ukhuwah dan melakar memori indah yang amat bermakna buat mahasiswa/wi Melaka yang beraya di perantauan Mesir.

“Insan Bertakwa, Manifestasi Kemenangan”
“Medan Islami Menuai Bakti”
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”

#WawasanTakwa
#1Hati1Wahdah 
#BersamaBersatu

Disediakan oleh:
Setiausaha (Promosi dan Teknikal) BUSYRA'22
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir sesi 2021/2022